CAMERON HIGHLANDS: Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menggunakan
empat jentera berat bagi mengesan seorang wanita Indonesia yang
dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam,
Ringlet di sini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitendan Wan Mohd
Zahari Wan Busu berkata, jentera berat terbabit diguna untuk mengalih
dan mengorek timbunan lumpur di kawasan yang dikenal pasti oleh Unit
Anjing pengesan K9 selain membersihkan lumpur di kawasan kejadian.
"Kita juga memperluaskan kawasan operasi meliputi jarak 5.7 kilometer
dari tempat mangsa dihanyutkan," katanya kepada pemberita di lokasi hari
ini.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan unit
menyelam pasukan bomba dan penyelamat bagi mencari mangsa di kawasan
jeram sungai serta kawasan yang dalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang juga pekerja kebun sayur di
sini membabitkan enam pegawai dan 88 anggota daripada polis, Jabatan
Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan Angkatan Tentera
Malaysia, katanya.
Dalam kejadian 1 pagi Rabu lalu, dua orang maut akibat lemas, manakala
seorang lagi meninggal dunia kerana serangan jantung dalam tragedi
banjir kilat yang menenggelamkan 80 kediaman itu.
Kejadian berpunca daripada limpahan air Sungai Bertam susulan pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar di hulu sungai berkenaan.
Sementara itu, Wan Mohd Zahari menafikan dakwaan segelintir penduduk
bahawa pihak berkuasa lambat mengeluarkan amaran sebelum pelepasan air
dari empangan.
Beliau berkata, pihaknya mengarahkan pasukan kereta peronda polis pada
11.40 malam (Selasa) untuk memberitahu setiap kediaman penduduk mengenai
pelepasan air yang akan dilakukan pada 12.30 tengah malam.
"Polis turut menggunakan siren dan pembesar suara di setiap kawasan
kediaman sepanjang perkampungan Lembah Bertam untuk mengarahkan penduduk
berpindah," katanya.
Friday 25 October 2013
Filled Under:
Jentera berat digunakan untuk mencari mangsa banjir lumpur Di Cameron Highlands
Posted By:
Admin
on 22:12
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment